Terus Prihatin, Sumbangan Bukti UMNO Lahad Datu Sentiasa Bersama Rakyat Tanpa Mengira Kaum

LAHAD DATU, 27 Okt – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terus menjadi asas perjuangan UMNO Bahagian Lahad Datu apabila Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul, meneruskan inisiatif membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Terbaharu, beliau menyampaikan sumbangan kewangan serta bakul makanan kepada 25 pelajar kaum Cina di Lahad Datu, sebagai sebahagian daripada program kebajikan berterusan UMNO Bahagian Lahad Datu.

“Alhamdulillah, selepas kita menyalurkan bantuan kepada anak-anak pelajar pelbagai kaum di DUN Silam kelmarin, hari ini kita teruskan pula dengan anak-anak kaum Cina.
Ini bukti bahawa perjuangan UMNO adalah untuk semua rakyat, tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Sharif Musa, program ini turut disertai oleh barisan kepimpinan UMNO Bahagian, wakil-wakil sekolah serta ibu bapa penerima bantuan yang menunjukkan keakraban dalam menjalani pelbagai aktiviti seharian.

Ujarnya, inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada program ‘Saling Mengasihi’, yang kini telah memberi manfaat kepada lebih 627 pelajar, termasuklah yang terbaharu 327 penerima.

“Dalam masyarakat majmuk seperti di Lahad Datu yang dihuni oleh pelbagai etnik termasuk Suluk, Bajau, Bugis, Idahan, Dusun Subpan, Dusun Begahak, Iranun, Cocos, Jawa dan Tidong, semangat saling membantu dan memahami amat penting untuk mengekalkan keharmonian.”

Tambahnya, UMNO akan terus memainkan peranan aktif mendekati rakyat di peringkat akar umbi, bukan sahaja melalui bantuan kebajikan, tetapi juga melalui program pembangunan pendidikan, sosial dan ekonomi.

“UMNO bukan hanya muncul ketika pilihan raya, tetapi sentiasa berada di sisi rakyat. Bantuan ini bukan sekadar sumbangan material, tetapi lambang kasih sayang dan kebersamaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung pada bulan November ini, Sharif Musa menyeru agar rakyat Sabah menilai perjuangan dan keikhlasan UMNO dalam memperjuangkan kebajikan semua kaum.

“PRN kali ini bukan sekadar soal politik, tetapi soal masa depan dan kestabilan Sabah. UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod yang jelas dan kita membina, bukan memecahbelahkan. Kita mahu rakyat Sabah terus maju dalam suasana aman dan harmoni,” tegasnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO