Teruskan Perkukuh Jentera BN Hadapi PRN Sabah Ke-17 – Awang Aslee
BEAUFORT, 24 Okt – Semua jentera Barisan Nasional (BN) di DUN Klias dan DUN Kuala Penyu diseru agar terus komited serta mempunyai semangat juang yang tinggi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua UMNO Beaufort merangkap Pengerusi BN Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menegaskan bahawa perjuangan BN bukan sekadar kata-kata tetapi dibuktikan melalui tindakan turun padang bagi memperkukuh jentera parti.
Beliau yang juga Penyelaras BN DUN Kuala Penyu berkata, usaha memperkuatkan gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera amat penting bagi memastikan kemenangan BN di setiap kawasan serta menjamin kesejahteraan rakyat.

“Perjuangan BN ini bukan sekadar kata-kata, tetapi kita turun padang memperkukuh jentera menghadapi PRN ke-17 Sabah demi memastikan kemenangan BN dan kesejahteraan rakyat di sini,” katanya.
Awang Aslee turut menegaskan bahawa perjuangan BN sentiasa berpaksikan keikhlasan dan ketelusan, bukan kerana kepentingan diri atau kroni.
“Kita berjuang secara telus dan ikhlas, demi rakyat dan generasi belia agar masa depan terus cerah, maju dan bermaruah. Belia hari ini adalah pewaris perjuangan, mereka bukan sekadar penonton tetapi tulang belakang kebangkitan perjuangan,” ujarnya.
Beliau juga menyeru agar seluruh jentera BN terus bersatu dan jujur dalam perjuangan kerana kekuatan parti terletak pada kesetiaan dan keikhlasan ahli di semua peringkat.
“Bersama seluruh kepimpinan dan jentera BN, kita terus melangkah dengan semangat baharu demi rakyat, demi belia dan demi masa depan Sabah yang lebih gemilang,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
