BN Sabah Konsisten Perjuang Hak Negeri Di Bawah MA63 – Abdul Rahman Dahlan
KOTA KINABALU, 22 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melahirkan rasa kecewa terhadap tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap Barisan Nasional (BN) Sabah berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)..
Menurut beliau, terdapat pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah BN Sabah tidak pernah memperjuangkan hak negeri itu di bawah MA63, sedangkan rekod jelas menunjukkan BN antara yang paling konsisten memperjuangkannya sejak dahulu lagi.
“BN Sabah dituduh bermacam-macam kerana seolah-olah tidak pernah memperjuangkan MA63. Ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, beliau telah pun mengumumkan bahawa apa yang menjadi hak milik Sabah dan Sarawak di bawah MA63 dan telah diambil akan dikembalikan.
“Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Tan Sri Anifah Aman, mewakili Sabah dan Datuk Seri Nancy Shukri, mewakili Sarawak. Tiada ahli dari Semenanjung Malaysia dan semuanya adalah menteri, Ahli Parlimen atau wakil dari Sabah dan Sarawak, dengan tujuh dari Sarawak dan enam dari Sabah.
“Setahu saya, mereka menggunakan penyelidikan dan laporan yang dihasilkan oleh jawatankuasa ini, yang ditubuhkan di bawah Datuk Seri Najib Razak, di mana saya juga terlibat. Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa BN tidak berusaha untuk menuntut semula hak Sabah di bawah rangka kerja MA63 yang BN lakukan,” katanya kepada UMNO Online.
Namun katanya, apabila BN kalah dalam pilihan raya pada 2018, dalam tempoh enam hingga tujuh bulan ketika kerajaan Warisan memerintah, mereka mengumumkan bahawa beberapa perkara telah pun diselesaikan.
“Persoalannya bagaimana masalah yang wujud selama beberapa dekad dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan sahaja?”
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah juga menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah kepada 40 peratus daripada hasil bersih yang diperolehi daripada negeri itu.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) kerana berjaya mendapatkan semakan kehakiman, yang membawa kepada keputusan mahkamah bahawa hak 40 peratus itu sememangnya hak Negeri Sabah dan mesti dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.
“Saya melihat ini sebagai kemenangan besar untuk Sabah cuma keputusan ini tidak dirayu dan dikekalkan, kerana sudah tiba masanya isu 40 peratus ini yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita perlu meletakkan noktah kepada naratif ini untuk selama-lamanya.
“Jika tidak, ia akan berlarutan dan memecahbelahkan hubungan baik antara rakyat Sabah dan Kerajaan Persekutuan, kerana perkara ini ada didalam Perlembagaan dan maka ia adalah satu tanggapan yang betul. Selepas kita bincangkan mekanisma bagaimana Kerajaan Persekutuan perlu membayar berdasarkan kemampuan kewangannya,” katanya lagi.
Ujarnya, yang penting kerajaan pusat mengiktiraf dari mahkamah ini bahawa 40 peratus adalah hak negeri Sabah.
“Kita menoktahkan perkara ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online
