Pahang Pacu Pelaburan RM5 Bilion Menerusi ECERDC – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Kerajaan Negeri Pahang merakamkan penghargaan kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) atas kejayaan memacu pelaburan direalisasi berjumlah RM5 bilion serta pelaburan komited sebanyak RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta destinasi pelaburan yang berdaya saing.

“Pelaburan direalisasi ini mewakili 90 peratus daripada sasaran ECERDC sebanyak RM5.6 bilion bagi tahun 2025, diterajui oleh sektor pembuatan (41 peratus), minyak dan gas (34 peratus) serta perkhidmatan (25 peratus),” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan turut berjaya mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang, manakala pelaburan komited berjumlah RM3.9 bilion yang menumpu kepada sektor pembuatan (95 peratus) dan pertanian (5 peratus) dijangka menghasilkan 3,185 lagi peluang pekerjaan selepas direalisasikan sepenuhnya.

Jelasnya, sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya, dua acara utama turut diadakan, iaitu pertukaran dokumen pelaburan bernilai RM1.6 bilion antara ECERDC dengan empat syarikat utama, serta penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Empat syarikat yang menandatangani pelaburan di Pahang ialah:
1. PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn Bhd – penubuhan Pusat Data AI.
2. Sinolion Wheels Technology Sdn Bhd – pengeluaran rim roda aloi aluminium.
3. Malaysian Solar Resources Sdn Bhd – pembangunan kilang pembuatan teknologi hijau.
4. Lionphos Sdn Bhd – penghasilan fosfat gred makanan dan elektronik.

Ujar Wan Rosdy, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan penyerahan TCIC Cerating kepada Jabatan Perikanan Pahang, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh bidang ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti negeri.

“Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha ECERDC dalam menjayakan pelaburan strategik bernilai tinggi yang sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st, demi pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini,” tambah Wan Rosdy lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO