Pemetaan Sistem Saliran: Kerajaan Negeri Pahang Laksana Kajian PISMA

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang sedang melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Daerah Kuantan, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau mengambil maklum mengenai cadangan untuk melaksanakan pemetaan menyeluruh sistem saliran untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran.

“Dalam persidangan hari ini, saya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Andansura Rabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, berhubung cadangan melaksanakan pemetaan menyeluruh sistem saliran bagi mengenal pasti kapasiti, status pemilikan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan setiap laluan saliran.

“Cadangan ini turut merangkumi usaha mewartakan laluan saliran strategik bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan, pelebaran dan naik taraf dilaksanakan dengan lebih terancang, sekali gus membantu mengurangkan risiko limpahan air serta kejadian banjir kilat.

”Perkara ini amat relevan memandangkan peningkatan pembangunan perumahan dan komersial, khususnya di kawasan DUN Beserah, telah meningkatkan aliran air permukaan yang perlu ditampung oleh sistem saliran sedia ada,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pembangunan pesat perlu disokongan oleh sistem perparitan yang lebih sistematik.

“Kerajaan Negeri menyedari bahawa pembangunan pesat perlu disokong oleh sistem perparitan yang berupaya menampung keperluan semasa dan akan datang. Justeru, perancangan yang menyeluruh dan berasaskan kajian teknikal amat penting bagi memastikan pengurusan saliran dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui JPS Negeri Pahang sedang melaksanakan Kajian PISMA bagi Daerah Kuantan, yang turut meliputi kawasan DUN Beserah. Kajian selama dua tahun ini bermula pada 23 November 2026 dan dijadualkan selesai pada 20 November 2028,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil kajian tersebut akan menjadi asas penting untuk merangka pengurusan saliran yang lebih komprehensif.

“Hasil kajian ini akan menjadi asas penting dalam mengenal pasti keperluan dan merangka pendekatan pengurusan saliran yang lebih komprehensif, termasuk langkah-langkah penambahbaikan infrastruktur saliran bagi menghadapi cabaran pembangunan serta perubahan guna tanah.

“Pembangunan yang dirancang dengan baik perlu berjalan seiring dengan kesiapsiagaan infrastruktur. Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO