Hidang Arak… Majlis Kerajaan Wajar Cerminkan Nilai Islam, Bukan Cetus Kontroversi
MUAR, 7 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar menyifatkan insiden hidangan arak dalam majlis rasmi anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini sebagai satu tindakan yang tidak wajar, cuai dan mencemar sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ketuanya, Saifulrudin Muhamad, menegaskan bahawa majlis rasmi kerajaan seharusnya menjunjung nilai budaya dan agama, bukannya menjadi medan yang menimbulkan rasa tidak hormat terhadap pegangan majoriti rakyat.
“Insiden ini tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan. Ia jelas menunjukkan kecuaian dan ketidakpekaan terhadap sensitiviti masyarakat, khususnya umat Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, peristiwa itu membuktikan wujud kegagalan kawalan dan kelemahan pengurusan dalam memastikan setiap majlis kerajaan mematuhi adab serta protokol yang selaras dengan identiti negara.
“Pihak penganjur seolah-olah tidak peka terhadap realiti masyarakat majmuk yang meletakkan nilai agama sebagai asas. Ini bukan isu kecil, tetapi soal maruah dan imej negara di mata rakyat dan dunia luar,” katanya lagi.
Saifulrudin menegaskan bahawa kerajaan perlu tampil bertanggungjawab, khususnya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, untuk memohon maaf secara terbuka serta menjelaskan bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku.
“Kita menuntut penjelasan telus dan tindakan segera. Jika benar kerajaan Madani menjunjung prinsip integriti dan nilai moral, maka tindakan tegas mesti diambil tanpa sebarang alasan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda UMNO Muar tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk kecuaian yang mencalarkan imej negara.
“Kita tidak menolak kemajuan atau keterbukaan, tetapi jangan sampai mengorbankan nilai yang menjadi tunjang pembentukan bangsa. Hormatilah sensitiviti umat Islam dan pastikan perkara seperti ini tidak berulang,” tegasnya.
Saifulrudin juga menyeru agar setiap agensi kerajaan menjadikan insiden ini sebagai pengajaran besar, bahawa dalam negara berbilang kaum, kepekaan terhadap agama dan budaya bukan pilihan tetapi tanggungjawab. – UMNO Online
