UMNO Labuan Terus Prihatin: 1,500 Kg Beras Disumbang, Sukaneka Kampung Sungai Lada Meriah
LABUAN, 8 Sept – UMNO Labuan terus memperkukuh peranan sebagai wadah kebajikan dan penghubung masyarakat apabila dua program berbeza berjaya dianjurkan dengan penuh bermakna di sini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian dan Wanita UMNO Labuan, telah meneruskan Program Peduli Rakyat dengan mengagihkan 1,500 kg beras kepada 15 keluarga yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan anak mereka minggu hadapan.
“Syukur Alhamdulillah, saya amat terharu apabila para penerima menyatakan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan ini. Minggu depan Labuan bakal dipenuhi suasana kenduri kendara yang pastinya menambahkan seri ukhuwah sesama masyarakat,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Wanita UMNO Labuan, Niswati Tarji; Pengerusi Sekretariat Kebajikan UMNO Labuan, Sabli Jinin, seluruh AJK Bahagian dan Wanita, serta Ketua-Ketua UMNO Cawangan yang berganding bahu menjayakan agihan berkenaan.
Sementara itu, di Kampung Sungai Lada, suasana kemeriahan terserlah apabila Program Sukaneka Kampung Sungai Lada anjuran Pergerakan Pemuda UMNO di sini berjaya menarik penyertaan ramai penduduk tanpa mengira usia.
Pelbagai acara tradisional seperti galah panjang, merambat, isi air dalam botol, memancing dan sebagainya menceriakan lagi suasana, malah, Mohd Rafi sendiri tidak ketinggalan menyertai permainan galah panjang yang penuh nostalgia.
“Saya cukup bangga dengan komitmen dan inisiatif anak-anak muda kampung ini. Program sebegini bukan sahaja menghidupkan semangat kesukanan, tetapi turut mempereratkan hubungan silaturahim serta kerjasama dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda Cawangan Sungai Lada, seluruh kepimpinan Pemuda serta warga kampung, selain berterima kasih kepada Ketua Kampung Sungai Lada, yang turut bersama menjayakan program tersebut.
“UMNO Labuan akan terus menyokong inisiatif yang membawa manfaat besar kepada rakyat, sama ada dalam bentuk kebajikan mahupun aktiviti kemasyarakatan, selaras dengan semangat parti mendekati masyarakat di setiap peringkat,” katanya lagi. – UMNO Online