Jangan Politikkan TH, Siasatan Mesti Berasaskan Fakta – MUBARAK
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) menyokong usaha agar diwujudkan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2017 hingga kini demi memastikan segala persoalan berhubung pengurusan aset dan kewangan institusi berkenaan dapat dijawab secara telus berdasarkan fakta.
Presidennya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata siasatan itu penting khususnya bagi meneliti kedudukan TH selepas tempoh yang pernah menjadi perhatian menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan proses semakan terdahulu.
Menurut beliau, penelitian baharu perlu memberi tumpuan kepada persoalan sama ada wujud unsur penyelewengan, urus niaga penjualan atau pemindahan aset kepada pihak berkepentingan serta bagaimana aset berkenaan diuruskan selepas pemindahan tersebut.

“Perlu diketahui apakah status aset TH yang dipindah milik, bagaimana aset berkenaan menjana keuntungan serta mengapa keuntungan atau aset tersebut tidak dipulangkan semula kepada TH sekiranya memang terdapat asas untuk berbuat demikian.
“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab berdasarkan fakta, dokumen dan rekod kewangan, bukan melalui persepsi, tuduhan atau polemik politik,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menyifatkan isu pengurusan TH sebagai perkara yang memerlukan penelitian profesional dan bebas kerana sebarang kelemahan dalam pengurusan aset dan pelaburan bukan sahaja memberi implikasi kepada kedudukan kewangan institusi itu, malah boleh menjejaskan keyakinan pendeposit.
Katanya, antara perkara yang wajar diberi perhatian termasuk kronologi setiap pemindahan atau pelupusan aset, nilai transaksi, pihak yang terlibat, asas komersial sesuatu keputusan, prestasi aset selepas transaksi serta aliran manfaat atau keuntungan yang terhasil.
“Yang paling penting ialah kita mahu mengetahui ke mana pergi aset itu, siapa yang menguruskannya, apakah pulangan yang dihasilkan dan sama ada kepentingan TH serta pendeposit benar-benar dilindungi.
“Tidak memadai sekadar mengatakan sesuatu transaksi itu sah dari sudut prosedur. Persoalan lebih besar ialah sama ada ia dibuat demi kepentingan TH, mempunyai justifikasi komersial yang kukuh dan memberikan nilai terbaik kepada pendeposit,” katanya.
Abdul Aziz berkata demikian selepas mengikuti dengan teliti keseluruhan perbincangan dalam Musyawarah Nasional 2.0 – “Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” yang diadakan pada Selasa lalu.
Beliau berkata, perbincangan berkenaan memperlihatkan keperluan supaya isu berkaitan TH tidak terus terperangkap dalam pertentangan persepsi, sebaliknya diselesaikan melalui pendekatan berasaskan fakta, ketelusan dan akauntabiliti.
“Masyarakat khususnya pendeposit TH berhak mendapat penjelasan yang jelas mengenai kedudukan sebenar aset dan kewangan institusi itu, termasuk apa yang berlaku selepas tempoh siasatan atau penelitian terdahulu.
“Memahami bahawa TH memerlukan penyelesaian yang tuntas, saya berpandangan satu penelitian menyeluruh terhadap tempoh 2017 hingga 2022 adalah wajar supaya tidak ada lagi persoalan yang tergantung.
“Jika semuanya dilakukan mengikut tatakelola dan undang-undang, jelaskan kepada rakyat. Jika terdapat kelemahan, perbaiki. Jika ada kesalahan jenayah, ambil tindakan. Yang penting, semuanya mesti berdasarkan bukti dan proses yang adil,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan utama dalam isu tersebut bukanlah untuk memenangkan mana-mana kelompok politik, tetapi memastikan amanah umat Islam yang diletakkan dalam TH terus dilindungi dan diurus dengan penuh integriti.
Katanya, ketelusan dalam pengurusan aset, tadbir urus korporat dan keputusan pelaburan perlu menjadi asas bagi memulihkan serta mengukuhkan keyakinan pendeposit terhadap TH.
“Tabung Haji bukan milik mana-mana kerajaan, parti politik atau individu. Ia adalah amanah umat. Sebab itu setiap persoalan berkaitan aset, keuntungan, pelaburan dan keputusan pengurusan perlu dijawab dengan penuh tanggungjawab.
“Kita tidak mahu isu ini dijadikan bahan politik. Kita mahu kebenaran berdasarkan fakta dan penyelesaian yang boleh diterima oleh semua pihak,” katanya lagi. – UMNO Online
