Tiga Program Utama Meriahkan Pra-Perhimpunan Agung UMNO 2026

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 September depan, tiga program utama akan diadakan sehari lebih awal pada Selasa, 8 September, termasuk Konvensyen Pendidikan Melayu 2026.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen berkenaan merupakan antara pengisian penting yang memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk membincangkan serta memperkukuh agenda pendidikan Melayu.

“Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 ini merupakan satu platform penting untuk kita melihat semula agenda pendidikan Melayu secara menyeluruh, termasuk cabaran semasa dan hala tuju yang perlu diberi perhatian bersama.

“Kita mahu perbincangan ini menghasilkan pandangan dan cadangan yang konstruktif demi memastikan agenda pendidikan Melayu terus diperkasa dan mampu menjawab tuntutan masa hadapan.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Menurut beliau, selain Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, dua lagi program utama turut akan berlangsung pada 8 September iaitu Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.

“Ketiga-tiga program ini terbuka kepada kehadiran orang awam. Ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyertai pengisian yang telah disusun sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat MKT UMNO turut bersetuju untuk memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi Pas bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Asyraf Wajdi berkata, jemputan tersebut merupakan tanda penghormatan serta sebagai membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas.

Perhimpunan Agung UMNO 2026 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September depan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO