Program MADANI Rakyat Bukti Komitmen Kerajaan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Program MADANI Rakyat 2025 sebagai medan terbaik rakyat untuk berinteraksi dengan kerajaan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, inisiatif itu turut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam mendekati serta memahami keperluan rakyat.
“Melalui program seperti ini rakyat dapat berinteraksi secara terus dengan pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan melalui reruai-reruai dan aktiviti yang disediakan.
“Inilah tujuan utama Program MADANI Rakyat di mana Kerajaan turun padang untuk mendengar, memahami dan menyantuni rakyat.
“Insya-Allah, usaha sebegini akan terus diperkukuh agar manfaatnya sampai ke seluruh pelosok negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid yang turut sama mengiringi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluahkan keterujaan beliau melihat sambutan yang menggalakkan.
“Meriah sungguh suasana Program MADANI Rakyat 2025 di Kedah hari ini. Sejak saya tiba di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, saya dapat lihat orang ramai tidak putus-putus hadir.
“Ada yang datang bersama keluarga, rakan-rakan, malah ramai juga yang membawa anak-anak kecil. Memang sporting betul orang Kedah,” ujar beliau. – UMNO Online