MARA Terus Prihatin Nasib Pelajar Luar Bandar – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil peluang meninjau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu dalam lawatan tidak rasmi, selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Sabah pada malam sebelumnya.
Lawatan tersebut, yang dibuat seawal jam 7 pagi memperlihatkan keprihatinan berterusan MARA terhadap kebajikan pelajar luar bandar.
Dalam lawatan itu, beliau menyatakan rasa syukur apabila melihat projek pembinaan tangki air bernilai RM100,000 yang pernah diluluskan Majlis MARA beberapa tahun lalu telah siap dan kini memberikan manfaat besar kepada warga maktab.
“Alhamdulillah, projek tersebut telah pun siap sepenuhnya dan kini memberikan manfaat besar kepada warga MRSM di sini.
“Para pelajar juga tidak lagi berdepan masalah air seperti dahulu,” katanya.
Beliau turut berkesempatan bertemu pelajar-pelajar dari Tingkatan 1 hingga 5, termasuk calon SPM yang sedang menduduki peperiksaan percubaan SPM.
Selain beramah mesra, Dr Asyraf juga turut sama meninjau keadaan asrama, tandas dan kemudahan lain di maktab yang telah beroperasi sejak 23 tahun lalu.
“Insya-Allah, saya mendoakan agar MRSM Kota Kinabalu terus menjadi mercu tanda kejayaan anak-anak Sabah, khususnya anak-anak dari keluarga B40 di pedalaman kampung.
“Inilah aspirasi MARA bagi memastikan anak-anak di desa berjaya dalam pendidikan, seterusnya mampu mengubah nasib keluarga dan menjadi kebanggaan masyarakat,” ujarnya. – UMNO Online