Komitmen UMNO Labuan Jadi Jambatan Rakyat, Terima Kasih KKDW Bantu Mangsa Ribut
LABUAN, 3 Sept – UMNO Labuan menegaskan komitmennya sebagai jambatan rakyat apabila segera menghubungkan aduan serta keluhan masyarakat yang ditimpa musibah dengan kerajaan, khususnya berhubung 17 mangsa ribut kencang yang mengalami kerosakan kediaman baru-baru ini.
Ketuanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO lantaran pantas memberikan maklum balas dan menyalurkan bantuan.
“Alhamdulillah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid terus memberi persetujuan untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan. Malah pegawai KKDW sendiri telah turun padang menilai kerosakan serta mengenalpasti jumlah peruntukan yang diperlukan bagi membaik pulih rumah yang terjejas.
“Komitmen yang ditunjukkan melalui KKDW ini jelas membuktikan kerajaan sentiasa dekat dengan rakyat, prihatin terhadap nasib mereka, serta tidak membiarkan mangsa berhadapan musibah bersendirian,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Mohd Rafi, pendekatan segera KKDW adalah bukti bahawa agenda membela rakyat bukan sekadar janji, malah dilaksanakan dengan tindakan nyata yang memberi kelegaan kepada mangsa ribut.
“Bantuan ini amat penting untuk meringankan beban dan kerugian yang ditanggung. Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak, rumah-rumah yang rosak dapat dibaiki segera agar mangsa kembali selesa menghuni kediaman masing-masing,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa UMNO sentiasa menjadi jambatan rakyat, berperanan sebagai penghubung antara masyarakat yang ditimpa musibah dengan kerajaan.
“UMNO di semua peringkat, termasuk di Labuan, komited memastikan suara rakyat didengar dan dibawa terus kepada pimpinan kerajaan. Inilah yang kita buktikan melalui usaha membantu mangsa ribut ini iaitu rakyat tidak dibiarkan sendirian, sebaliknya UMNO tampil bersama kerajaan mencari penyelesaian,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar semua mangsa bersabar dan tabah menghadapi ujian, serta terus menaruh keyakinan terhadap teraju KKDW yang akan terus melaksanakan tanggungjawab membela rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Komitmen ini bukan sahaja menjelaskan kecekapan kerajaan menangani isu rakyat, tetapi ini adalah reality perjuangan kesungguhan kami dalam UMNO sebagai sebahagian daripada tonggak utama Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online