UMNO Lahad Datu Terus Prihatin: Ziarah Merdeka Santuni Masyarakat Di Tiga DUN

LAHAD DATU, 2 Sept – Sempena bulan Kemerdekaan, kepimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu meneruskan program Ziarah Merdeka yang memberi tumpuan kepada masyarakat setempat yang sedang diuji dengan masalah kesihatan dan keperluan kebajikan.

Program ini diketuai oleh Naib Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu, Datuk Maizatul Akmam Alawi bersama Ketua Wanita Bahagian, Setiausaha Wanita serta Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, rombongan UMNO Lahad Datu menziarahi anak kepada En. Hamzah yang telah sebulan menjalani rawatan di Wad 4A, Hospital Lahad Datu.

Maizatul Akmam bersama kepimpinan wanita UMNO menyampaikan kata-kata semangat dan doa agar anak beliau, Mohd Shahrizan Syafiek, segera diberi kesembuhan selain En. Hamzah dan isteri terus diberikan kekuatan untuk menjaga anak yang sedang sakit.

Di DUN Tungku pula, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri) kepada Puan Kunang Pusan, yang mewakili suaminya yang menghidap sakit buah pinggang.

Dimaklumkan bahawa suami Puan Kunang menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu dan terpaksa berulang-alik dari Tungku ke Hospital Lahad Datu.

“Sumbangan itu diharap dapat meringankan beban kos rawatan yang ditanggung keluarga,” katanya.

Sementara di DUN Segama pula, siri ziarah menerusi rombongan tersebut telah mengunjungi Sukalno Hassan iaitu Ketua PDM North Road merangkap Ahli Majlis Bahagian.

“Beliau baru-baru ini mengalami kecederaan di bahagian kepala sehingga menerima 24 jahitan. Kunjungan itu bukan sahaja menyantuni beliau, malah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen Pakcik Sukalno dalam perjuangan parti di peringkat akar umbi,” kata Maizatul Akmam.

Beliau yang juga ahli BAKTI menegaskan bahawa program sebegini akan terus diperluaskan bagi memastikan UMNO dekat dengan rakyat, khususnya mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan.

“Semangat kemerdekaan bukan sekadar pada sambutan, tetapi diterjemahkan melalui keprihatinan terhadap masyarakat. Insya-Allah, UMNO Lahad Datu akan terus bersama rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79