Perlu Faham Undang-Undang, Kibar Bendera Terbalik Satu Penghinaan – Md Israk
PONTIAN, 30 Ogos – UMNO Johor menegaskan bahawa isu pengibaran bendera secara terbalik bukanlah perkara remeh, sebaliknya satu bentuk penghinaan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri yang perlu ditangani secara tegas.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah, tindakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Azim Shamsuddin, mengarahkan penutupan sementara dua premis yang mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Johor secara terbalik adalah sah di sisi undang-undang dan berlandaskan kuasa yang diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Tindakan ini bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berpandukan Seksyen 72, 73, 101 dan 102 Akta 171 serta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Pontian) 2019 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil langkah sewajarnya terhadap pelanggaran syarat lesen,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujar beliau yang juga Ketua WHIP MPPn Pontian, Undang-Undang Kecil 45 dengan jelas memberikan kuasa kepada YDP untuk mengarahkan pemilik premis agar mengibarkan bendera dengan cara yang betul dan menutup sementara premis yang gagal mematuhi arahan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa arahan mengenai tatacara pengibaran bendera telah diedarkan kepada semua premis di bawah pentadbiran MPPn, justeru sebarang kegagalan mematuhinya merupakan satu bentuk pelanggaran lesen yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Di banyak negara maju, penghinaan terhadap bendera boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara. Negeri Johor mengambil pendekatan sederhana dengan hanya menutup sementara premis yang terlibat, namun pendirian kita tetap tegas – bendera adalah simbol maruah negara dan negeri yang wajib dihormati,” tegasnya lagi.
Tambah beliau, Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 juga memberi perlindungan undang-undang kepada pegawai PBT yang menjalankan tugas secara bona fide (niat baik) dan menurut peruntukan yang sah.
Justeru katanya, UMNO Johor menolak sebarang cubaan untuk mempolitikkan isu ini atau menjadikannya bahan provokasi yang tidak membina. Malah, tindakan mempertikai keputusan MPPn dianggap sebagai usaha membuli penjawat awam yang telah melaksanakan tugas dengan penuh integriti.
“UMNO Johor berdiri teguh menyokong penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang. Jangan sesekali membuli atau menekan mereka hanya kerana tindakan tegas yang diambil demi maruah negara dan negeri.”
Beliau juga menyeru semua pihak agar bersama-sama memupuk semangat patriotisme dan tidak memandang ringan soal penghormatan terhadap simbol-simbol negara yang menjadi asas perpaduan dan identiti rakyat Malaysia. – UMNO Online
