BN Hargai Komitmen Kerajaan Perpaduan, Seru Perbaiki RUU URA Secara Inklusif
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Barisan Nasional (BN) merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan kerana menerima permintaan Ahli-ahli Parlimen BN untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, penangguhan ini disambut baik secara sebulat suara oleh Ahli-ahli Parlimen BN yang mahu ruang tersebut dimanfaatkan untuk melaksanakan libat urus lebih menyeluruh bersama pihak berkepentingan dan pemegang taruh.

“Beberapa peruntukan dalam RUU ini perlu diperhalusi semula, khususnya melibatkan tahap persetujuan bagi projek pembaharuan, skop kuasa eksekutif serta penentuan nilai ambang yang boleh menjejaskan hak pemilik. Perkara ini berpotensi mengganggu hak autonomi negeri serta menggugat kestabilan komuniti,” katanya.
Jelas beliau, BN menegaskan keperluan memperluas rundingan bersama Kerajaan Negeri, penduduk asal serta pakar perancangan bandar bagi memastikan suara rakyat dari semua lapisan dapat diambil kira.
“Transformasi bandar bukan sekadar soal pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga mesti adil, berimbang serta selaras dengan prinsip Perlembagaan,” tegas Ahmad Zahid.
Walaupun mengakui kepentingan RUU tersebut untuk masa depan pembangunan negara, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan bahawa BN tetap berpendirian ia perlu dikaji secara teliti supaya benar-benar membawa manfaat holistik kepada semua rakyat dan komuniti yang terlibat. – UMNO Online
