Merdeka Ke-68: Jasa UMNO Perlu Dihidupkan Dalam Hati Setiap Rakyat
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Jasa UMNO memerdekakan negara perlu dihidupkan dalam hati setiap rakyat Malaysia, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin.
Ujarnya, kemerdekaan memang menjadi tonggak terpenting UMNO dan kisah yang dekat dengan kehidupan harian boleh dijadikan sebagai inspirasi terhadap sumbangan rakyat kepada negara.
“Ramai yang menyatakan bahawa UMNO tidak seharusnya terkongkong oleh pencapaian silam. Namun, kita perlu menggunakan cara tersendiri untuk memupuk kesedaran dan kebanggaan terhadap jasa besar parti ini yang bukan sekadar sejarah, tetapi akar kepada Malaysia moden.
“Ramai berpendapat bahawa kita tak boleh hanya duduk di atas keberanian dan pencapaian yang terdahulu. Betul, kemerdekaan memang tonggak terpenting UMNO. Tetapi usaha kita hari ini adalah memastikan jasa itu bukan sekadar ditulis dalam buku teks, tetapi dihidupkan dalam setiap hati rakyat Malaysia.
“Pertama kita perlu mendekati rakyat secara lebih ikhlas bukan dengan retorik lama… tetapi dengan kisah yang dekat dengan kehidupan harian seperti cerita Datuk Siti Rahmah Kassim menyumbangkan gelang emasnya kepada Tunku Abdul Rahman demi membantu perjalanan ke London untuk rundingan kemerdekaan.
“Cerita seperti ini tidak ternilai dan ia bukan sekadar sejarah, tetapi inspirasi tentang bagaimana rakyat biasa boleh menyumbang kepada perjuangan negara. Ini perlu diceritakan, dikongsi, dan dirasai,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa semangat kemerdekaan diterapkan ke dalam komuniti melalui program-program yang kreatif.
“Kita perlu ‘memindahkan jiwa’ kejayaan kemerdekaan tersebut kepada generasi sekarang. Bukan melalui ucapan formal, tetapi melalui pendekatan media sosial, video pendek dan program pendidikan luar bilik kuliah yang menekankan nilai kebersamaan, pengorbanan, serta keberanian rakyat dulu. Tujuannya adalah untuk menjadikan jasa kemerdekaan bukan sesuatu yang jauh, tetapi ‘hidup’ dalam pemahaman dan tingkah laku harian rakyat.
“UMNO perlu jadi jambatan masa. Kita sudah berjaya dahulu dan kita mesti buktikan kita relevan hari ini. Kita ambil semangat itu, masukkan ke dalam program komuniti, pertemuan anak muda, bahkan dalam slogan-slogan kreatif sempena hari Merdeka. Jika dilakukan dengan ikhlas dan kreatif, sejarah itu akan bukan hanya dikenang, tetapi dijiwai oleh rakyat.
“Kemerdekaan bukan warisan eksklusif kepada UMNO; ia adalah warisan negara. Tetapi jasa UMNO adalah batu asas. Kalau kita gagal menggotong batu asas itu ke dalam naratif harian rakyat khususnya anak muda, maka kita gagal sebagai penjaga sejarah dan pejuang masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online