Khidmat Untuk Rakyat: Dari Kemudahan Kecil Hingga Keperluan Utama Jadi Fokus – Mohd Zaidy

JEMPOL, 28 Ogos – Usaha membangunkan kawasan Jeram Padang terus diberi perhatian apabila beberapa projek infrastruktur dan program masyarakat berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi pelaksana.

Dalam hal ini, Mohd Zaidy menegaskan bahawa fokus penting adalah memastikan khidmat untuk rakyat sentiasa menjadi keutamaan sama ada melalui pembangunan infrastruktur berskala besar mahupun penyelesaian kepada kemudahan harian masyarakat.

“Setiap aduan dan keperluan rakyat adalah amanah yang perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan sekadar janji,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, antara yang terbaharu ialah kerja-kerja menaiktaraf Bulatan Rompin yang akan memberi manfaat khususnya bagi melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselamatan jalan raya dan memperindahkan wajah bandar Rompin.

Dalam masa sama, JKR Daerah Jempol turut memasang papan tanda baharu di laluan ke bulatan Rompin dari arah kilang simen Jelai, bagi memudahkan panduan pengguna jalan raya dan meningkatkan tahap keselamatan.

Ujar Mohd Zaidy berkata, setiap usaha yang dilaksanakan adalah hasil cadangan dan keprihatinan rakyat yang diterjemah dalam bentuk tindakan nyata.

“Saya berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) dan JKR yang sentiasa responsif dengan cadangan rakyat. Hasilnya dapat dilihat dan dinikmati bersama,” ujarnya.

Tumpuan terhadap kemudahan awam turut dizahirkan dengan siapnya kerja-kerja penutup longkang di laluan utama Klinik Kesihatan Rompin yang tentunya akan memberi keselesaan kepada pengunjung dan mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tumpuan awam.

“Bagi saya, khidmat untuk rakyat tidak boleh dipandang kecil. Walau sekadar menutup longkang, memasang papan tanda, atau menaiktaraf bulatan, semua itu tetap memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat. Itulah tanggungjawab seorang pemimpin iaitu mendengar, bertindak dan memastikan kesejahteraan rakyat terbela,” katanya.

Selain pembangunan infrastruktur, aspek pembangunan generasi muda juga diberi perhatian apabila Mohd Zaidy berbesar hati merasmikan Karnival Bola Sepak Bawah 12 Tahun Sekolah-Sekolah Tamil Daerah Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu yang kembali dianjurkan selepas tujuh tahun di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St. Heliar, Bahau, baru-baru ini.

Lebih istimewa, ujarnya, penganjuran tahun ini turut memperkenalkan kategori bola sepak perempuan buat julung kalinya.

“Saya yakin sukan adalah platform penting membentuk disiplin, sahsiah dan semangat berpasukan anak-anak kita. Terima kasih kepada semua guru, ibu bapa dan sukarelawan yang menjayakan karnival ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, usaha yang dilaksanakan iaitu daripada penambahbaikan kemudahan jalan raya, keselamatan awam hinggalah kepada pembangunan bakat anak muda adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memastikan kesejahteraan rakyat Jeram Padang sentiasa terpelihara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO