Ahmad Zahid Mohon KPT Pertimbang Kuota Tambahan Kursus Perubatan, Pembedahan Di UniKL RCMP
IPOH, 28 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan kuota tambahan pengambilan pelajar bagi Kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di UniKL Royal College Of Medicine Perak (UniKL RCMP).
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah itu bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan bilangan doktor serta memperkukuh barisan hadapan sektor kesihatan.
“Patik menaruh harapan agar pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dapat mempertimbangkan tambahan kuota sekurang-kurangnya 250 pelajar lagi,” katanya dalam sembah ucapan bersempena dengan Majlis Sambutan Jubli Perak UniKL RCMP di sini, hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis berkenaan.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata melihat kepada perkembangan pesat UniKL RCMP, sebuah hospital pengajar perlu diwujudkan bagi memperkukuh pengajaran dan pembelajaran.
“… malah langkah itu juga sebagai limpahan rahmat kepada masyarakat, mengurangkan kesesakan hospital, serta memberikan sumbangan besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata hingga kini, UniKL RCMP terus mengekalkan mutu pengajaran, kurikulum bertaraf antarabangsa serta kekuatan tenaga akademiknya.
Ahmad Zahid berkata sebanyak 10,950 siswazah berjaya dilahirkan dan berbakti kepada tanah air, serta dalam masa yang sama mereka turut mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Beliau berkata sambutan Jubli Perak UniKL RCMP ialah bukti kejayaan sebuah institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang kekall relevan, serta terus unggul dalam melahirkan insan berilmu dalam bidang perubatan dan sains kesihatan. – BERNAMA