Perundingan Tahunan Malaysia-Brunei: Tekad Bersama Kukuh Kerjasama

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Perundingan Tahunan Pemimpin Kali ke-26 antara Malaysia dan Brunei Darussalam membuktikan tekad bersama untuk memperkukuh kerjasama demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa perundingan tersebut telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya, pada Khamis.

“Alhamdulillah, telah berlangsung Perundingan Tahunan Pemimpin Kali ke-26 antara Malaysia dan Brunei Darussalam yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Seri Perdana, Putrajaya.

“Keberadaan Baginda juga merupakan Lawatan Negara atas undangan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Hasil perbincangan, kedua-dua pemimpin menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan, tenaga, pendidikan, pertahanan, kesihatan dan kebudayaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa perbincangan perundingan tersebut turut menekankan kepentingan hubungan erat antara Sabah, Sarawak dan juga Brunei.

“Perbincangan juga menekankan kepentingan hubungan erat antara Sabah, Sarawak dan Brunei bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan bersama di rantau Borneo.

“Perundingan ini membuktikan tekad bersama Malaysia dan Brunei untuk terus memperkukuh kerjasama demi manfaat rakyat kedua-dua negara, sekaligus menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan serantau,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79