‘Pilihan Raya PBT Bukan Agenda Kerajaan Perpaduan’ – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii memaklumkan tiada keperluan untuk diadakan pihak berkuasa tempatan (PBT) buat masa ini,
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata perlu difahami bahawa cadangan tersebut adalah agenda dan manifesto Pakatan Harapan (PH), tidak termasuk dalam agenda Kerajaan Perpaduan.
“Pilihan Raya PBT bukanlah perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan.
“Kerajaan hari ini terbentuk bukan atas majoriti Pakatan Harapan (PH) semata-mata.
“Jika PH menang majoriti seperti pada tahun 2018, bolehlah Ahli-Ahli Parlimen PH melaksanakan manifesto mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya lagi sedangkan pelaksanaan kuota Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) pada masa kini masih lagi tidak berjaya dan mencapai objektif.
Malah menurut beliau lagi, pekeliling yang dirangka secara bertulis juga tidak dipatuhi dengan sebaiknya.
“Adalah lebih baik kerajaan fokus kepada usaha memperkasakan kebajikan serta pembangunan sosial rakyat, daripada membangkitkan perkara yang melangit tetapi belum tentu membawa manfaat kepada masyarakat,” ujar beliau.
Terdahulu, beberapa ahli Parlimen PH membangkitkan isu berkaitan Pilihan Raya PBT.
Menurut mereka hasrat tersebut juga sejajar dengan manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. – UMNO Online