Kepentingan Masyarakat Setempat Terus Jadi Keutamaan – Rais Yasin
MELAKA, 28 Ogos – Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, berkata keselesaan masyarakat setempat terus menjadi tumpuan serta perhatian kerajaan negeri.
Bagi melancarkan lagi pelbagai usaha serta pelaksaan yang dirancang, beliau dan pelbagai agensi lain turun padang melihat secara lebih dekat dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik kebolehlaksanaan projek naik taraf persimpangan Paya Rumput, Lebuh AMJ.
“Seawal jam 6.30 kami turun padang melihat dengan lebih dekat di persimpangan berkenaan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu berkaitan kebolehlaksanaan projek berkenaan.
“Tinjauan ini amat penting bagi menilai pemerhatian trafik waktu puncak, operasi persimpangan sedia ada serta cadangan lokasi u-turn yang dicadangkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Rais seterusnya menambah lawatan turun padang berkenaan turut disertai pelbagai agensi yang berkaitan.
“Alhamdulillah…lawatan ini turut disertai Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Jalan Kementerian Kerja Raya, Ir. Mohd Fairuz bin Mamat@Muhammad; Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek Zon Selatan JKR Malaysia, Ir. Ahmad Paridz bin Abdullah; Jurutera Awam Penguasa Jalan JKR Melaka, Ir. Azman bin Ismail; serta pihak-pihak berkepentingan.
“Mesyuarat hasil lawatan juga telah diadakan di JAPERUN Paya Rumput untuk memperincikan dapatan serta membincangkan skop dan hala tuju projek,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR Malaysia, JKR Melaka dan semua agensi teknikal yang memberi kerjasama penuh bagi memastikan projek naik taraf ini dapat direalisasikan demi kepentingan pengguna jalan raya dan penduduk setempat. – UMNO Online