Ops Sekat Fasa 4: Kerajaan Negeri Pahang Terus Tegas Banteras Pencerobohan Tanah Secara Haram
KUANTAN, 27 Ogos – Kerajaan Negeri Pahang menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau Hutan Simpan Kekal secara haram, termasuk aktiviti penanaman durian haram di daerah Raub.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya.
“Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram Raub atau Ops Sekat kini memasuki Fasa 4 bermula 21 Julai 2025. Sehingga kini, lebih 25,000 ekar kawasan durian haram telah disekat laluan keluar masuk, manakala 260 ekar tanaman durian haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom telah ditebang.
“Hasil operasi ini, seramai 45 individu telah ditahan, melibatkan 20 kes kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen serta Akta Senjata.
“Tangkapan ini membuktikan pendirian jelas Kerajaan Negeri yang tidak berlembut dengan mana-mana pihak yang berdegil menceroboh tanah kerajaan,” tegas Wan Rosdy dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, Ops Sekat telah mula dilaksanakan sejak 25 April tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semakan kehakiman oleh 186 pekebun.
“Secara keseluruhan, sebanyak 129 individu telah ditangkap di bawah pelbagai kesalahan, dengan 12 kes dibawa ke mahkamah. Sebahagian daripada mereka telah dijatuhi hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
“Hukuman ini adalah amaran jelas bahawa Negeri Pahang tidak akan sesekali tunduk kepada penceroboh,” katanya lagi.
Tambah Wan Rosdy lagi, operasi sedemikian dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Kerjasama ini memperkukuh tindakan Kerajaan Negeri dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, berkesan dan menyeluruh.
“Kerajaan Negeri mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan Hutan Simpan Kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara.
“Sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian,” tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu lagi. – UMNO ONLINE