KPK-UMK Pacu Pengkomersialan Produk Kenaf, Perkukuh Ekosistem Industri
KUALA LUMPUR, 29 OGOS – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memacu pengkomersialan produk kenaf dalam memperkukuh ekosistem industri.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat dari UMK pada Jumaat.

“Hari ini saya menerima kunjungan hormat daripada Prof Ts Dr Arham Abdullah, Naib Canselor UMK, bersama delegasi universiti di KPK.
“Pertemuan ini membuka ruang yang sangat baik untuk kami bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik antara UMK dan KPK, khususnya dalam memperkukuh pembangunan produk serta ekosistem industri kenaf negara.
“UMK turut berkongsi hasil penyelidikan produk berasaskan kenaf yang berpotensi untuk diperkasa dan dikomersialkan, agar manfaatnya dapat diterjemahkan kepada produk sebenar serta peluang ekonomi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia turut berharap agar kerjasama tersebut akan terus diperkukuhkan bagi membina ekosistem kenaf yang lebih bersepadu.

“Kami juga membincangkan cadangan penubuhan Konsortium Kenaf bagi memperkukuh kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri dalam penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan kenaf.
“Turut dikongsikan perancangan Karnival Fakulti Industri Asas Tani (AGX) 2026 sebagai platform mengetengahkan hasil penyelidikan, inovasi dan produk berpotensi UMK.
“Hadir sama menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail; serta Dekan dan penyelidik Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) dan Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi (TTC) UMK.
“Insya-Allah, kerjasama seperti ini akan terus kita perkukuh bagi membina ekosistem kenaf yang lebih bersepadu, inovatif dan berdaya saing,” katanya lagi. – UMNO Online
