Bendera Lambang Maruah Bangsa, Jangan Ada Pihak Cuba Alih Isu
PARIT SULONG, 27 Ogos – Pemuda UMNO Johor mengambil maklum dan memandang serius berkenaan insiden kesilapan pengibaran bendera Johor di Pekan Nenas baru-baru ini yang telah mengguris sensitiviti rakyat Johor.
Naib Ketuanya Dr. Mohammad Aswad Ithnain menyokong penuh Majlis Perbandaran Pontian juga telah mengambil langkah tegas dengan mengenakan tindakan penutupan premis selama 30 hari.
“Langkah ini bukan sahaja memberi mesej jelas bahawa isu bendera bukan perkara remeh, malah menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih peka, berhati-hati dan menghormati lambang negeri serta negara.
“Johor tidak pernah dan tidak akan bersikap berat sebelah terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan. Setiap tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang, demi menjaga maruah negeri dan kedaulatan simbol kebangsaan,” kata Dr Mohammad Aswad dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya lagi, Pemuda UMNO Johor dalam masa yang sama menyeru semua rakyat agar bertenang, tidak bertindak di luar batas, serta saling mengingatkan tentang kepentingan mengibarkan bendera dengan betul.
“Isu ini harus dijadikan pengajaran supaya ia tidak berulang, dan bukannya dijadikan bahan untuk memecah-belahkan masyarakat,” tegas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong itu lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pemuda UMNO Johor ingin menegaskan jangan ada pihak seperti Dapsy cuba mengalih isu dan mempolitikkan kesilapan ini untuk meraih simpati murahan.
“Tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa adalah selaras dengan undang-undang, bukan kerana tekanan politik.
“Jika benar mereka cintakan negara, gunakanlah 30 hari ini untuk turun ke padang mengajar anak muda cara kibarkan bendera dengan betul, bukannya sibuk menanam kebencian dan menuding jari,” katanya.
Katanya lagi, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Pemuda UMNO Johor mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada seluruh Bangsa Johor yang sentiasa menjadi benteng kekuatan negeri ini.
“Semoga semangat patriotisme terus mekar, dan semoga Jalur Gemilang serta Bendera Johor sentiasa berkibar megah di bumi tercinta,” ujarnya. – UMNO ONLINE