UMNO/BN Sabah Mesti Menang, Perjuangan Demi Masa Depan Rakyat

KOTA KINABALU, 27 Ogos – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah mesti terus memperkukuh gerak kerja jentera penerangan serta memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pelancaran Manual Gerak Kerja Penerangan UMNO Malaysia/BN yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir serta kepimpinan bahagian dan ketua-ketua penerangan seluruh negeri, di sini semalam.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, pelancaran manual gerak kerja ini merupakan tanda kesiapsiagaan UMNO/BN menghadapi medan baharu politik iaitu ‘perang digital’ yang kini menjadi medan utama.

“Politik adalah kepakaran melaksanakan strategi dan dalam zaman kecerdasan buatan (AI) hari ini, cabaran semakin mencabar. Musuh politik bukan sahaja ada di depan mata, tetapi boleh datang dari mana-mana. Justeru, peranan penerangan amat penting untuk bergerak lebih aktif,” katanya.

Beliau menekankan bahawa UMNO adalah parti yang berstruktur, mempunyai organisasi kukuh dan jentera akar umbi yang sentiasa bersedia serta turun ke lapangan mendekati rakyat.

“Matlamat kita jelas, bukan sahaja untuk menang di PRN Sabah, tetapi lebih besar lagi ialah memastikan BN kembali dominan bersama Presiden UMNO di peringkat nasional,” tegasnya.

Bung Moktar menambah, pengalaman dan pengajaran lalu banyak mendewasakan UMNO/BN dalam mengatur strategi baharu, sekali gus memberi kekuatan sebenar untuk berdepan cabaran politik di Sabah.

“PRN kali ini adalah ruang dan peluang untuk kita kembalikan maruah UMNO/BN Sabah. Kita tidak akan mengkhianati perjuangan ini. Mana-mana kerusi yang ditandingi akan kita pastikan dimenangi,” katanya.

Beliau turut menyentuh cabaran yang membelenggu rakyat Sabah, termasuk isu kemiskinan dan pembangunan daerah yang masih ketinggalan.

“Kita malu apabila diumumkan bahawa Sabah adalah negeri termiskin dan mempunyai daerah termundur. Misi kita adalah untuk mengubah data itu. Untuk itu, kita mesti berubah, kita utamakan parti lebih daripada kepentingan individu.

“UMNO adalah parti perjuangan yang berbeza dengan parti lain iaitu parti mereka yang lahir berasaskan kebencian, dendam dan dipenuhi pemimpin lompat parti,” katanya.

Dalam ucapannya, Bung Moktar turut menegaskan bahawa keyakinan rakyat perlu terus diperkukuh, kerana UMNO/BN tidak pernah berhenti bekerja untuk mereka.

“Perjuangan kita bukan baharu. Ia sudah bermula sejak sekian lama dan kini menuju ke kemuncaknya. PRN semakin hampir, jangan bergantung kepada kekuatan orang lain, tetapi bergantung kepada kekuatan parti sendiri. Jaga pengundi putih kita kerana setiap satu undi amat penting untuk memastikan kemenangan.”

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag mengingatkan bahawa kerja-kerja mendekati rakyat telah dilakukan dari peringkat bahagian, pusat daerah mengundi (PDM) sehingga ke peringkat kampung, justeru usaha tersebut mesti digandakan bagi memastikan sokongan rakyat terus berpihak kepada UMNO/BN.

“Teruskan perjuangan ini demi masa depan dan kemenangan dalam PRN nanti. Yakinlah, percayalah bahawa UMNO/BN akan kembali memerintah negeri Sabah dan menjadi dominan. BN Sabah mesti menang,” tegas lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79