UMNO Lancar Manual Gerak Kerja Penerangan Di Sabah

KOTA KINABALU, 26 Ogos 2025 – UMNO Malaysia hari ini melakar satu lagi langkah penting apabila melancarkan Manual Gerak Kerja Penerangan UMNO Malaysia/Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Ketua Penerangan UMNO merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu Negeri Sabah, lagu BN dan UMNO – Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, membuka ucapan alu-aluan sebelum diteruskan oleh Azalina.

Seterusnya, ucapan pelancaran disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Kemuncak majlis berlangsung dengan gimik pelancaran Manual Gerak Kerja Penerangan UMNO Malaysia/BN yang menjadi dokumen panduan penting bagi memperkukuh peranan jentera penerangan parti dalam mendepani cabaran semasa.

Pelancaran manual ini dilaksana bagi memperkemas gerak kerja serta menyelaras pendekatan penerangan UMNO/BN dalam menyampaikan maklumat yang lebih tersusun, berkesan dan dekat dengan rakyat.

Terdahulu majlis dimulakan dengan taklimat kepada Cave Team yang melibatkan Ketua Penerangan Bahagian serta Setiausaha Bahagian di sini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79