Terus Tanam Semangat Cinta Tanah Air, Syukuri Nilai Kemerdekaan Dikecapi

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari mengajak rakyat Malaysia untuk terus menanam semangat cinta tanah air bersempena Hari Kebangsaan negara pada 31 Ogos ini.

Beliau berkata, sebagai warganegara yang bertanggungjawab rakyat perlu mensyukuri nilai kemerdekaan yang ada.

“Sempena Hari Kebangsaan marilah kita meletakkan kesetiaan kepada negara dengan memupuk perpaduan, elak daripada perpecahan apatah lagi antara kaum, negara yang sudah ke-68 tahun ini negara yang sudah merdeka secara amannya dan kekalkan keamanan ini sehingga bila-bila.

“Paling penting adalah perpaduan dan tahap toleransi harus ditingkatkan, tolak segala perkara yang boleh memecah belah, mengelirukan yang boleh menyebabkan rakyat bersengketa,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari dalam pada itu turut sama menyeru rakyat untuk bersama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai cerminan jati diri dan kemegahan setiap rakyat Malaysia dengan negara ini.

“Marilah kita beramai-ramai naikkan bendera sama ada di rumah, di kereta dengan menunjukkan semangat sayang dan kecintaan kita kepada negara.

“Bulan kemerdekaan ini marilah kita sama-sama memeriahkan di setiap kawasan perumahan kita, di setiap lorong, setiao jalan dihiasi bendera yang kita sayangi,” ujar beliau.

Untuk Tahun ini “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025) manakala logo Malaysia MADANI kekal sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.

Bagi sambutan Hari Kebangsaan ia akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung pada 16 Sept di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO