Semoga Ulang Tahun ke-76 Tiup Semangat Baharu Buat Wanita UMNO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar ulang tahun ke-76 akan meniupkan semangat baharu buat Wanita UMNO.

Ini kerana katanya, 76 tahun perjalanan ini telah membuktikan bahawa Wanita UMNO bukan sekadar menyokong, tetapi menjadi pencetus dan penggerak perjuangan.

“Sejarah perjuangan UMNO tidak akan lengkap tanpa nama Wanita UMNO. Sejak ditubuhkan pada 25 Ogos 1949, Wanita UMNO telah menjadi sayap sulung yang sentiasa berada di barisan hadapan – mengorbankan keringat, tenaga bahkan air mata demi agama, bangsa dan tanah air.

“Dalam setiap peristiwa getir dan detik genting, wajah-wajah pejuang Wanita tampil dengan keberanian, kesetiaan serta pengorbanan yang tidak pernah luntur. Alhamdulillah, 76 tahun perjalanan ini telah membuktikan bahawa Wanita UMNO bukan sekadar menyokong, tetapi menjadi pencetus dan penggerak perjuangan.

“Dari generasi ke generasi, Wanita UMNO telah melahirkan pemimpin berwibawa, mewariskan semangat juang yang tidak pernah padam dan menjadi tulang belakang parti dalam apa jua keadaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga besar Wanita UMNO yang tetap istiqamah dan setia.

“Hari ini cabarannya mungkin berbeza, namun prinsipnya tetap sama dalam memperjuangkan hak rakyat, memperkasa suara wanita, dan mendepani arus semasa dengan tekad yang tidak mengenal erti penat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga besar Wanita UMNO yang tetap istiqamah dan setia. Tanpa Wanita, UMNO tidak mungkin berdiri seteguh hari ini.

“Semoga ulang tahun ke-76 ini meniupkan semangat baharu buat Wanita UMNO untuk terus teguh di medan perjuangan, menjadi nadi rakyat dan benteng parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang kian menghampiri.

“Dengan kekuatan, kesetiaan dan keberanian Wanita UMNO, insya-Allah maruah parti akan terus dipertahankan dan UMNO kembali segar di hati rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79