Parti Politik Tidak Wajar Masuk Campur Kuasa PBT

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros menegaskan bahawa parti politik tidak wajar untuk masuk campur kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jelasnya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor kesal dengan pendekatan dwistandard dan tindakan tidak konsisten oleh sebuah parti politik dalam mengendalikan isu penutupan sebuah klinik gigi di Pontian baru-baru ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor kesal dengan pendekatan dwistandard, sikap hipokrit dan tidak konsisten pemimpin sebuah parti yang telah mempertikai tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dengan mengarahkan penutupan sebuah klinik gigi di Pontian baru-baru ini.

“Tindakan pemimpin parti tersebut jelas menganggu tugas MPPn, berniat untuk mencampuri urusan dan cuba untuk mempengaruhi keputusan pegawai MPPn dalam melaksanakan tugas mereka sebagai sebuah PBT.

“Pemuda UMNO Johor memuji tindakan penguatkuasaan pantas dan tegas pihak MPPn dalam isu ini. Sekali lagi kami berkeyakinan bahawa MPPn telah bertindak secara wajar mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang seperti yang diperuntukkan kepada MPPn sebagai PBT,” katanya menerusi satu kenyataan.

Noor Azleen yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang menyarankan agar MPPn segera mengambil tindakan undang-undang jika masih ada mana-mana pihak cuba untuk mencampuri urusan mereka.

“Pemuda UMNO Johor turut yakin MPPn tidak akan tunduk dengan sebarang desakan, ugutan mahupun tuntutan daripada mana-mana pihak dalam melaksanakan tugasnya dengan adil dan tegas.

“Pemuda UMNO Johor juga ingin menyarankan agar MPPn segera mengambil tindakan undang-undang, jika masih ada mana-mana pemimpin parti-parti politik lain yang masih berdegil untuk cuba mencampuri urusan MPPn dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan-peraturan diperuntukan kepada MPPn,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79