Wanita UMNO 76 Tahun: Benteng Setia, Kekal Tulang Belakang Parti – Norliza
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata ulang tahun Wanita UMNO yang ke-76 adalah satu pencapaian yang luar biasa kerana ia bukan sekadar angka, tetapi sebuah perjalanan panjang yang sarat dengan kisah pengorbanan, air mata, keringat dan keberanian wanita bangsa.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sejak penubuhannya, Wanita UMNO telah menjadi tulang belakang parti dan benteng yang paling setia.
“Dalam apa jua keadaan, Wanita UMNO sentiasa berada di barisan hadapan sama ada di medan politik, menggerakkan jentera pilihan raya, membantu masyarakat di desa dan kota, mahupun menyuarakan aspirasi wanita serta keluarga di peringkat nasional. Semangat ini membuktikan bahawa Wanita UMNO bukan sahaja penyokong, tetapi peneraju perjuangan.
“Namun… dalam meniti usia lebih tujuh dekad ini, kita perlu melihat ke hadapan. Dunia hari ini berdepan dengan cabaran baharu yang menuntut wanita untuk bergerak seiring dengan perubahan zaman. Isu globalisasi, ekonomi digital, kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut kita untuk berfikir lebih jauh dan bertindak lebih berani.
“Jika dahulu perjuangan wanita adalah untuk membebaskan bangsa daripada penjajahan dan membela nasib rakyat, maka hari ini perjuangan itu adalah untuk memastikan wanita tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital. Wanita perlu tampil sebagai pemimpin dalam bidang teknologi, inovasi, keusahawanan moden, dan pendidikan generasi baharu,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Bukit Gelugor berkata setelah 76 tahun penubuhannya, sayap wanita parti itu perlu menjadi tiang seri yang bukan sahaja menjaga akar perjuangan, tetapi juga berperanan sebagai peneraju perubahan.
“Dalam tempoh 76 tahun yang akan datang, Wanita UMNO mesti terus menjadi penaung nilai tradisi yang menjaga akar perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Pada masa yang sama menjadi peneraju perubahan, berani menguasai teknologi, dan menjadi penggerak kepada Malaysia yang lebih progresif, maju dan sejahtera,” katanya lagi.
Tambah Norliza lagi, ulang tahun ini bukan sahaja untuk meraikan pencapaian lalu, tetapi juga untuk menyalakan semula semangat baharu.
“Semangat yang akan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa, semangat yang akan memastikan Wanita UMNO kekal relevan, dan semangat yang akan membawa obor perjuangan ini terus menyinari masa depan negara.
“Selamat Ulang Tahun ke-76 Wanita UMNO. Semoga Wanita terus Bersatu, Bersetia, Berkhidmat untuk negara,” ujarnya. – UMNO Online