Kes Zara Qairina: Komitmen Kerajaan Perlu Disusuli Penjelasan Berkala – Peguam
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa kerajaan tidak akan menutup atau menyembunyikan sebarang isu berkaitan kes adik Zara Qairina Mahathir merupakan komitmen yang perlu disusuli dengan penjelasan berkala kepada rakyat, kata Pengamal Undang-Undang, Datuk Mohd Zaidi Md Zain.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor berkata, isu kematian adik Zara Qairina telah menjadi perbahasan hangat dan rakyat melihat seolah-olah kes tersebut tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Ketegangan isu kematian Zara Qairina Binti Mahathir seolah-olah tidak dapat dibendung oleh pihak berwajib sehingga terus menjadi pembahasan hangat di media sosial, Parlimen dan di kalangan masyarakat dalam serta luar negara.
“Dari laporan Menteri KDN pada 18 Ogos 2025 mengesahkan wujud unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes membabitkan kematian Zara Qairina. Majoriti netizen dan rakyat di luar sana tidak dapat menerima pendakwaan yang dibuat ke atas lima orang pelajar pada 20 Ogos lalu yang begitu ringan serta tidak menjurus kepada kesalahan menyebabkan kematian Zara Qairina.
“Dalam masa yang sama, penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pula dilihat sebagai lebih kepada membela pihak tertuduh atas alasan tertakluk kepada Akta kanak-kanak 2001 (Akta 611),” katanya kepada UMNO Online.
Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, keadaan bertambah lebih parah apabila terdapat segelintir pihak yang cuba ‘menangguk di air yang keruh’ untuk kepentingan tertentu.
“Keadaan ini terlihat seolah-olah kematian Zara Qairina masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila pelakunya bukan sahaja belum diambil tindakan sewajarnya, malah diberikan perlindungan pula.
“Keadaan menjadi lebih gawat apabila ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan ‘menangguk di air yang keruh’ demi kepentingan peribadi… menghasilkan kandungan mengikut selera mereka semata-mata untuk menarik sebanyak mungkin pengikut.
“Lebih parah lagi apabila pihak parti lawan mengapi-apikan sentimen kemarahan masyarakat dengan menuduh pihak kerajaan tidak bersungguh-sungguh mengenalpasti pembuli kerana kononnya melibatkan golongan tetamu kehormat (VVIP) di Sabah,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa masyarakat juga perlu memahami secara rasional bahawa sesuatu pendakwaan hendaklah didasarkan kepada bukti yang kukuh dan relevan.
“Dalam hal ini, pihak kerajaan berada dalam dilema kerana sebarang tindakan pendakwaan hendaklah didasarkan kepada bukti yang kukuh dan relevan, bukan pada emosi atau tekanan awam. Keadaan ini sewajarnya difahami secara rasional oleh masyarakat.
“Kenyataan Menteri KDN bahawa pihak kerajaan tidak akan menutup atau menyembunyikan sebarang kejadian buli dan pada masa sama, menghormati proses mahkamah termasuk hak semua pihak untuk perbicaraan adil adalah suatu komitmen yang perlu disusuli dengan penerangan atau penjelasan berkala serta bertanggungjawab. Tetapi, perlu dipastikan ia tidak sampai menghina perintah tegahan atau mengganggu proses mahkamah.
“Apa yang penting sekarang, hilangkan kegusaran rakyat dan tunjukkan proses yang sedang diambil secara telus sehingga tidak ada lagi ruang untuk pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi situasi dengan menyebarkan berita palsu dan fitnah. Kerajaan dan masyarakat hendaklah seiring sejalan mencari keadilan untuk arwah Zara Qairina mengikut lunas undang-undang tanpa pilih kasih dan rasa takut,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman