Lebih Tujuh Dekad, Wanita UMNO Terus Relevan Dalam Landskap Politik
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Selama lebih tujuh dekad, Wanita UMNO kekal sebagai tulang belakang parti dalam saat suka dan duka, kata Exco Wanita UMNO, Dr Masliha Harun.
Katanya, barisan jentera wanita ini telah menggalas amanah besar bukan hanya daripada menggerakkan jentera pilihan raya, menyantuni rakyat di peringkat akar umbi, bahkan hingga menjadi penyumbang dasar dalam pentadbiran negara.
“Wanita UMNO tidak pernah gentar menghadapi cabaran perubahan zaman. Mereka terus melangkah seiring dengan kemajuan dalam memperkasa pendidikan, ekonomi, teknologi dan kepimpinan wanita demi memastikan wanita Melayu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Dalam era politik baharu dan landskap yang semakin dinamik ini, semangat juang Wanita UMNO terus relevan dan diperlukan. Kini lebih daripada sebelumnya, parti memerlukan suara wanita yang berani, bijaksana dan bersatu untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan perjuangan.
“Ulang tahun ke-76 Wanita UMNO bukan hanya menandakan usia sebuah pergerakan, tetapi melambangkan kekuatan akar perjuangan politik wanita Melayu yang telah menjadi benteng utama UMNO sejak penubuhannya,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) berkata, sejak dari awal, Wanita UMNO telah membuktikan bahawa suara wanita bukan sekadar pelengkap, tetapi penggerak utama dalam membina tamadun bangsa dan membela nasib rakyat.
“Wanita UMNO terus memperkukuh solidariti sesama ahli, membina jaringan profesional yang inklusif dan mengangkat martabat wanita sebagai pemimpin masyarakat yang berwibawa.
“Kita tidak boleh berpatah balik. Masa depan wanita UMNO adalah masa depan negara. Teruskan langkah dengan yakin dan berprinsip.
“Selamat Ulang Tahun ke-76 kepada seluruh Wanita UMNO. Teruslah unggul, setia dan menjadi nadi perjuangan parti dan bangsa,” ujarnya. – UMNO Online