Mohd Zaidy Hargai KKDW, Nafas Baharu Untuk Rakyat Lulus Projek PPRS

JEMPOL, 22 Ogos – Usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar terus mendapat perhatian apabila dua buah rumah baharu berjaya disiapkan sepenuhnya di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana meluluskan pelaksanaan program berkenaan di kawasannya.

“Ucapan ribuan terima kasih saya tujukan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana telah meluluskan program tersebut di kawasan ini. Inisiatif ini memberi nafas baharu dan harapan kepada rakyat yang memerlukan, seiring tekad kita untuk mensejahterakan komuniti luar bandar,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ujarnya, program yang dilaksanakan oleh Giat MARA Sdn. Bhd. sebagai agensi pelaksana itu melibatkan pembinaan rumah bernilai RM79,000 seunit dan dua penerima manfaat bagi program ini ialah Mohd Misman Ramlan dan Roslin Abd Rahman.

Mohd Zaidy turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kontraktor kerana berjaya menyiapkan pembinaan rumah mengikut jadual yang ditetapkan dengan mutu kerja yang baik, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menunaikan janji kepada rakyat.

Katanya, pelaksanaan program ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kediaman yang lebih sempurna untuk rakyat, khususnya golongan yang benar-benar memerlukan selain menandakan bahawa komuniti luar bandar tidak pernah diketepikan daripada arus pembangunan negara.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa dalam Hari Bertemu Rakyat di Pusat Khidmat ADUN Jeram Padang dengan mendengar pelbagai aduan, pandangan dan keluh kesah masyarakat setempat.

“Insya-Allah, setiap suara rakyat akan kita dengar dan kita ambil tindakan sewajarnya kerana semangat saya untuk terus berkhidmat datang daripada sokongan dan kepercayaan mereka,” katanya.

Mohd Zaidy juga menegaskan bahawa pelaksanaan program seperti PPRS memberi gambaran jelas bahawa kerajaan benar-benar komited untuk mensejahterakan rakyat luar bandar dan memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79