Kerajaan Negeri Melaka Terus Prihatin Keselesaan Rakyat

ALOR GAJAH, 22 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka menegaskan komitmen untuk terus memastikan kemudahan serta keselesaan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata demikian ketika menyantuni warga kerja dan pengunjung di Klinik Kesihatan Lubok China, pagi tadi.

Beliau turut menekankan bahawa setiap maklum balas daripada rakyat akan diambil perhatian serius termasuk perkara yang melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kehadiran saya bukan sekadar lawatan, tetapi peluang untuk melihat sendiri keperluan rakyat di lapangan. Segala cadangan dan keperluan yang dibangkitkan akan diperhalusi agar penambahbaikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Selesai lawatan tersebut, Ab Rauf meluangkan masa bersarapan bersama penduduk setempat di Kedai Razak Ali, Lubok China. Beliau menyifatkan kesempatan itu sebagai ruang terbaik untuk mendengar sendiri suara rakyat dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat.

“Bagi saya, suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan kesejahteraan rakyat Melaka sentiasa terjamin,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79