Masa Depan Sabah Terletak Pada Perpaduan, Kerjasama – Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU, 22 Ogos – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menegaskan bahawa masa depan politik Sabah terletak pada semangat kerjasama, bukannya bersaing secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, meskipun bertanding secara solo memberi ruang kepada parti mengekalkan identiti tanpa kompromi, namun risiko pertandingan banyak penjuru boleh memecah undi dan akhirnya melemahkan peluang untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Kalau kerjasama, ia membuka ruang menyatukan kekuatan. Apabila tenaga dan sokongan digabungkan, mesej politik lebih meyakinkan, undi tidak terpecah, dan peluang membentuk kerajaan stabil lebih tinggi,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan menambah, rakyat Sabah kini sudah letih dengan episod lompat parti dan pertukaran kerajaan, sebaliknya mahukan jaminan kestabilan politik untuk tempoh lima tahun penuh.

Dalam konteks politik negara hari ini, katanya, pengundi juga mahu melihat siapa yang mampu bekerjasama dengan Putrajaya untuk membawa pembangunan, pelaburan, peluang pekerjaan dan infrastruktur ke negeri ini.

Pada masa sama, Salleh menegaskan bahawa suara Sabah mesti kekal tegas dalam memperjuangkan autonomi negeri dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pengundi mahu hak negeri diperjuangkan sebagai milik rakyat, bukan sekadar modal parti politik, dan tanpa mengorbankan kestabilan hubungan dengan pusat. Pendekatannya mesti melangkaui partisan politik,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kepentingan peribadi mana-mana pemimpin tidak seharusnya menjadi asas pertimbangan, sebaliknya perpaduan mesti dibina berlandaskan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.

“Akhirnya, pengundi akan memilih jalan yang boleh menyatukan kepelbagaian, menjamin kestabilan, membawa pembangunan, dan menegakkan MA63. Dalam realiti politik hari ini, yang menang bukan solo tetapi perpaduan,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79