Proses Perbicaraan Melibatkan Kanak-Kanak Tidak Sama Dengan Orang Dewasa

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Peguam, Ellena Razif memaklumkan proses perbicaraan melibatkan pelajar, dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau yang juga Biro Perundangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkata ia sekali gus berbeza dengan proses perbicaraan orang dewasa.

“Identiti pelajar memang terlindung di bawah Akta Kanak-kanak.

“Maknanya proses perbicaraan tidak sama dengan proses bicara orang dewasa.

“Memang akan dilakukan secara tertutup bagi melindungi privasi,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mengulas berkenaan kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, katanya semua pihak wajar mematuhi prosedur mahkamah.

“Sebaiknya kita menghormati proses mahkamah dan biarkan kes ini berjalan dengan lancar,” ujar beliau.

Terdahulu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, memaklumkan Akta Kanak-Kanak 2001 tidak hanya melindungi mangsa, sebaliknya ia merangkumi semua kanak-kanak, sama ada mangsa, saksi, atau tertuduh.

Menurut BHEUU prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak juga dijalankan secara tertutup bagi melindungi hak dan maruah kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah serta menjaga kerahsiaan.

la juga bagi menjaga kebajikan kanak-kanak itu, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), dan identiti kanak-kanak itu juga tidak boleh didedahkan kepada umum. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79