Pemuda UMNO Teguh Bersama Dr Akmal, Yakin Hadapi Proses Perundangan Dengan Tabah
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pemuda UMNO Malaysia menegaskan sokongan penuh terhadap Ketua Pemudanya, Datuk Dr Akmal Saleh yang berdepan pendakwaan di mahkamah, sambil yakin beliau akan melalui proses tersebut dengan tabah berlandaskan prinsip keadilan serta etika Rukun Negara.
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan, namun ia mesti diamalkan dengan penuh tanggungjawab berlandaskan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan serta Kedaulatan Undang-Undang.
“Saya percaya dalam ketegasannya, Dr Akmal tidak pernah berniat menghasut, sebaliknya ikhlas mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal ini.
Beliau menegaskan Pemuda UMNO berdiri teguh bersama Dr Akmal dan akan terus menyokong perjuangannya.
“Pemuda UMNO yakin beliau akan melalui proses ini dengan tabah, berpegang kepada prinsip keadilan serta etika Rukun Negara,” jelasnya.
Mohd Hairi dalam masa sama menyeru agar proses perundangan berjalan secara adil, telus dan tanpa campur tangan politik bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya. – UMNO Online