Penempatan Aset Pertahanan Di Sempadan Utara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Isu penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) pada sesi soal jawab meminta Menteri Pertahanan menyatakan status penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak serta Kelantan bagi mengawal risiko pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang semakin aktif sejak 2023.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan kerjasama ekonomi bersama Blok ND6 dan Blok ND7 yang telah dibincangkan dalam perundingan bersama Presiden Indonesia.

Kawasan maritim Blok ND6 dan Blok ND7 yang terletak dalam Peta Baharu Malaysia 1979 dirujuk sebagai Laut Sulawesi oleh Malaysia dan bukan “Ambalat” seperti yang digunakan oleh Indonesia.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh menteri-menteri berkaitan.

Sebanyak 161 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RMK13 yang berlangsung selama lapan hari bermula 4 Ogos lepas.

RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 31 Julai lepas, dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79