Program Executive Apprentice 2025 Cungkil Pemimpin Muda Malaysia – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Seramai 32 mahasiswa luar negara hari ini menerima ‘bapa dan ibu angkat’ masing-masing menerusi Majlis Penyerahan Executive Apprentice 2025 anjuran Kelab UMNO Luar Negara (KULN) yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi KULN, Datuk Mohamad Alamin berkata, program ini dilaksanakan buat julung kalinya bagi memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai aspek pentadbiran negara serta pengalaman kerja lapangan bersama pemimpin.
“Kita percaya akan lebih banyak lagi program selepas ini. Musim cuti musim panas menjadi peluang terbaik untuk kita libatkan anak-anak yang pulang ke tanah air agar mereka mendapat pengalaman praktikal daripada sudut pentadbiran dan pelbagai lapangan lain,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Penempatan Program Executive Apprentice 2025, di Parlimen hari ini.
Program yang dikelolakan menerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN) akan menempatkan 32 pelajar daripada luar negara di pelbagai kementerian dan pimpinan UMNO lain sempena musim cuti masing-masing. Program berkenaan akan mengambil masa sebulan.
Turut serta Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta menteri dan timbalan menteri UMNO yang lain.
Menurut Mohamad lagi, sepanjang tempoh sebulan, para peserta akan berpeluang mengikuti aktiviti bersama menteri dan timbalan menteri, bukan sahaja di pejabat tetapi juga di kawasan bagi memahami realiti kerja politik serta pentadbiran masyarakat.
“Ini peluang keemasan kerana mereka bukan sahaja didedahkan dari segi akademik, tetapi juga berperanan sebagai duta kecil Malaysia di persada antarabangsa,” jelasnya.
Program Executive Apprentice 2025 merupakan latihan amali dan eksekutif yang memberi peluang kerjaya serta pengalaman kepada pemimpin muda berbakat besar. Peserta akan ditempatkan di kementerian-kementerian untuk memahami tadbir urus negara, dasar awam serta proses membuat keputusan di peringkat pentadbiran. – UMNO Online
