Inisiatif UMNO Bukit Bintang Semarak Kemerdekaan Dengan Kibaran Jalur Gemilang
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – UMNO Bahagian Bukit Bintang di bawah pimpinan Ketuanya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan penganjuran program pemasangan dan pengedaran Jalur Gemilang di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Ujarnya, program bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 ini dilaksanakan bersama sayap Pemuda UMNO Bukit Bintang yang diketuai oleh Wan Mohd Zamri bersama seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda.
“Sebanyak 150 bendera kecil kenderaan telah diedarkan kepada orang ramai, khususnya pengguna jalan raya dan masyarakat sekitar. Pengedaran ini bukan sahaja sebagai simbolik sambutan bulan kebangsaan, malah menjadi seruan agar rakyat terus mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga,” katanya kepada UMNO Online.
Tengku Azman menegaskan bahawa program sebegini amat penting dalam mendekatkan UMNO dengan rakyat, selain mengangkat semangat patriotisme yang menjadi teras kepada perpaduan bangsa.
“Kemerdekaan bukan sekadar perayaan, tetapi ia adalah pengisian perjuangan. Jalur Gemilang yang berkibar megah ini mengingatkan kita kepada darah dan keringat pejuang terdahulu. UMNO Bukit Bintang bertekad untuk terus memelihara roh perjuangan ini agar diwarisi oleh generasi muda,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan sayap Pemuda dalam program sebegini memperlihatkan bahawa anak muda UMNO sentiasa berada di hadapan dalam menyemai semangat nasionalisme, seiring dengan hasrat parti untuk membina jati diri bangsa yang lebih kuat dan berdaya saing.
“UMNO Bukit Bintang bertekad untuk menjadikan bulan kemerdekaan sebagai wadah memperkukuh semangat kebangsaan, mengingatkan rakyat terhadap pengorbanan pejuang terdahulu, dan menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan warisan kemerdekaan ini terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Ini juga adalah untuk memupuk semangat patriotisme generasi muda, selain menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang demi menghayati makna kemerdekaan sebenar.”
Acara kemuncak program berlangsung dengan penuh semangat apabila Jalur Gemilang dikibarkan megah sambil bergema nyanyian Negaraku, menzahirkan tekad dan kebanggaan rakyat terhadap kedaulatan negara tercinta.
Dalam program berlainan, UMNO Bukit Bintang turut menganjurkan Program Mewarna Kanak-Kanak KEMAS sempena bulan kemerdekaan yang berlangsung meriah melibatkan seramai 25 orang kanak-kanak yang dikendalikan oleh Norhafiza Nordin dan Amyra mewakili Puteri UMNO Bukit Bintang.
Ujar Tengku Azman, program mewarna ini bukan sahaja mencungkil kreativiti anak-anak, malah memberi ruang kepada generasi muda untuk mengenal simbol-simbol kemerdekaan dengan lebih dekat.
“Aktiviti santai sebegini membuktikan bahawa semangat patriotisme boleh dipupuk sejak di bangku tadika lagi, agar kecintaan kepada negara terus segar dalam jiwa anak-anak.
“Apa yang lebih penting adalah bulan kemerdekaan bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya medan memperkukuh rasa cinta tanah air, memperteguh nilai kebersamaan, dan memastikan roh perjuangan kemerdekaan terus hidup di jiwa setiap rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online