Menjelang PRN Sabah: Sokongan Anak-Anak Muda Amat Memberangsangkan
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Sokongan anak-anak muda terhadap UMNO amat memberangsangkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah, Ummi Nabilah Jamal berkata, perkara tersebut dilihat ketika UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah ke pusat-pusat daerah mengundi (PDM) untuk melaksanakan ‘Program Radu Tetap Radu’.
“Alhamdulilah sokongan anak-anak muda di Negeri Sabah untuk PRN akan datang amat memberansangkan. Lebih-lebih lagi ketika kami ke PDM-PDM menganjurkan ‘Program Radu Tetap Radu’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan dan PDM tertentu.
“Dari pemerhatian saya, ramai anak muda telah hadir memberikan sokongan dan turut serta dalam program tersebut walaupun mereka bukan ahli,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah akan terus bersolidariti dan terus menuntut keadilan atas kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
“Kami akan terus menuntut keadilan buat adik Zara Qairina lebih-lebih lagi saya sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Papar… kawasan saya sangat terkesan dengan kejadian ini.
“Boleh dikatakan rakyat mulai hilang kepercayaan kepada kerajaan sekarang kerana gagal untuk membawa kes ini dan juga menyelesaikannya dengan secepat mungkin.
“Sudah tentu kita mahukan keadilan. Kita tidak mahukan perkara ini terjadi kepada anak-anak yang lain pada masa akan datang,” katanya lagi.
Pada Sabtu media melaporkan Pengagihan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Sabah telah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan tiada sebarang rundingan dilakukan antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan pembahagian kerusi atau kerjasama bagi menghadapi PRN itu sebagai menghormati PH.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dijangka tidak dapat dielakkan berikutan kemungkinan penyertaan parti lain serta baharu pada PRN kali ini. – UMNO Online