Sambutan Hari Pelancongan Sedunia Di Melaka Buka Pintu Pelaburan, Kerjasama Antarabangsa

MELAKA, 18 Ogos – Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 di sini bulan depan dijangka membuka pintu pelaburan dan kerjasama antarabangsa yang lebih luas untuk Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata menerusi publisiti yang diterima di peringkat global, ia bukan sahaja menjemput lebih ramai pelancong ke Melaka, malah membuka peluang dalam bidang pertukaran pelancongan, penerbangan terus, pelancongan kesihatan, pelancongan kapal persiaran dan pelancongan halal.

Walaupun acara ini berlangsung hanya dua hari, impaknya mampu bertahan 10 tahun akan datang. Melaka tidak lagi sekadar dikenali sebagai bandar warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tetapi sebagai hab pelancongan hijau dan pintar.

Inilah batu loncatan penting ke arah Tahun Melawat Melaka dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Melaka bagi Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang bersama Penjawat Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, barisan Exco, pegawai kanan dan penjawat awam negeri serta Persekutuan.

Ab Rauf berkata penganjuran WTD itu juga merupakan pengiktirafan berprestij daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) sekali gus meletakkan Melaka di pentas global setaraf dengan destinasi pelancongan terkemuka lain.

“Acara ini hanya berlangsung di bandar terpilih setiap tahun dan inilah masanya kita menonjolkan Melaka di pentas dunia. Maka dengan peluang inilah, Melaka terus memperkukuh imej, menambah tarikan serta meningkatkan daya saing bukan sahaja untuk pelancongan negeri, tetapi juga untuk Malaysia di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata manfaat sambutan ini amat ketara kerana ia memberi impak langsung kepada ekonomi negeri serta kesejahteraan lebih 105 juta rakyat Melaka.

“Lebih ramai pelancong bermakna lebih banyak tempahan hotel dan lebih banyak peluang pekerjaan, daripada pengurusan acara, hospitaliti, sukarelawan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hingga ke perniagaan kecil.

‘Komuniti setempat pula boleh menjual produk tempatan, budaya dan pengalaman autentik. Kita bukan sahaja hendak bawa pelancong, tetapi kita hendak julang peniaga dan semua ekonomi tempatan. Peluang ini bukan selalu hadir maka, kerajaan negeri pastinya akan membuat persediaan sehabis baik,” katanya.

WTD dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) akan berlangsung dari 27 hingga 29 Sept depan dengan 159 delegasi antarabangsa dijangka menyertainya pada kali ini. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79