Wanita UMNO Sabah Teruskan Solidariti Keadilan Untuk Adik Zara

SIPITANG, 18 Ogos – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris menzahirkan rasa pilu dan terus bersolidariti bersama keluarga Allahyarhamah Adik Zara Qairina agar keadilan dapat ditegakkan.

Terdahulu beliau telah menziarahi pusara Allahyarhamah Adik Zara Qairina di Tanah Perkuburan Kampung Masapol, Sipitang, baru-baru ini.

Noraini berkata, sebagai seorang ibu, beliau turut merasai pedihnya kehilangan itu dan memahami betapa berat ujian yang ditanggung oleh ibu arwah.

“Sukar digambarkan bagaimana seorang wanita boleh menanggung kehilangan satu-satunya cahaya mata. Namun saya melihat kekuatan luar biasa pada ibu arwah yang reda dengan ketentuan Allah SWT. Kehadiran kami bukan sekadar membawa doa, tetapi juga menyambung solidariti seluruh warga Sabah dan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan ditegakkan buat arwah Zara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa setiap anak adalah anugerah yang tidak ternilai, dan kehilangan arwah Zara bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi juga meninggalkan kesan mendalam di hati rakyat Malaysia.

“Sebagai seorang ibu, saya turut merasa pedihnya luka itu kerana setiap anak adalah nyawa yang tiada gantinya. Arwah Zara tetap hidup dalam doa kita semua, menjadi bidadari syurga yang memberi makna besar kepada perjuangan menuntut keadilan,” tambahnya.

Dalam ziarah itu, Noraini turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Labuan merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rafi Alli Hassan serta Pengerusi Penganjur Himpunan Aman Solidariti Justice For Zara WP Labuan, Niswati Tarji yang membuka ruang kepada Wanita UMNO Sabah untuk bersama-sama dalam solidariti tersebut.

Beliau berdoa agar roh Adik Zara ditempatkan dalam kalangan para solehin dan syuhada, serta keluarga Allahyarhamah terus diberi ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini.

“Sesungguhnya kasih seorang ibu tiada gantinya. Kehadiran kami hari ini adalah bukti Wanita UMNO Sabah bersama-sama seluruh rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan menuntut keadilan buat arwah Zara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79