‘Akar Umbi Diseru Proaktif Kenalpasti Isu Setempat’ – Mohamad
SEREMBAN, 17 Ogos – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru akar umbi parti untuk memainkan peranan tersendiri dalam mendekati rakyat.
Katanya, langkah yang boleh dilakukan adalah mengenalpasti isu tempatan dihadapi rakyat untuk ditangani sebaiknya kerana ia memberikan kesan sebagai persiapan menuju pilihan raya akan datang.
“Kepimpinan UMNO di peringkat bawahan, di peringkat cawangan, perlu sentiasa bergerak aktif dan mesti mampu untuk mereka meneliti apa jua isu di kawasan masing-masing.
“Kerana kita tidak mahu isu tidak diurus dengan baik… dan jika terbiar akan menjadi penyakit. Dan bila pilihan raya, isu-isu di kawasan setempat ini menjadi sebagai isu utama yang dimainkan oleh masyarakat setempat.
“Jadi dalam pilihan raya, mereka banyak kepada isu-isu tempatan. Saya harap supaya pemimpin-pemimpin cawangan pastikan supaya mereka ini peka terhadap isu-isu yang ada,” katanya.
Mohamad berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan, Seremban hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Dr Awaludin Said; Naib Ketua, Datuk Zaifulbahri Idris dan kepimpinan lain.
Mengulas lanjut kata beliau lagi, ia juga bagi mengelak pihak pembangkang memesong fakta dan menggunakan isu tempatan untuk memburukkan parti.
Menurut Mohamad kesan tersebut dilihat akan memberikan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap UMNO.
“Jangan biarkan isu tempatan ini ‘dihijack’ ataupun diambil alih oleh pihak pembangkang kerana mereka akan ‘spin’ dan gunakan isu ini untuk memburukkan parti,” ujar beliau. – UMNO Online