Jelajah Kasih Prihatin Wanita Segamat Terus Dekati Masyarakat – Norshida

SEGAMAT, 17 Ogos – Program Jelajah Kasih: Prihatin dan Peduli Wanita anjuran Wanita UMNO Segamat diteruskan di Zon Batu Anam hari ini bagi menyantuni golongan wanita serta masyarakat setempat yang berdepan pelbagai cabaran kesihatan.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, program tersebut bukan sahaja memberi bantuan dari segi fizikal, malah berperanan sebagai medium sokongan moral dan emosi kepada mereka yang diuji.

“Program ini bertujuan menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian hidup. Ramai antara mereka sudah lama tidak bertemu kami, dan sambutan yang diterima amat mengharukan,” katanya kepada UMNO Online.

Sepanjang ziarah, pihaknya turut mengadakan sesi perbincangan dan perkongsian pengalaman selain menyediakan khidmat nasihat, keperluan perubatan serta sokongan mental kepada penerima.

Norshida dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut serta menyeru agar masyarakat terus berdoa agar usaha seumpamanya dipermudahkan dan diberkati.

“Bersama-sama, kita mampu membuat perbezaan,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79