Isu Jalur Gemilang: Tindakan Tegas Tanpa Pengecualian Perlu Diambil

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Tindakan tegas tanpa pengecualian perlu diambil terhadap mana-mana individu yang lalai atau sengaja mengabaikan tatacara pengibaran Jalur Gemilang.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memandang serius kesalahan berulang dalam isu tersebut kerana Jalur Gemilang merupakan simbol maruah dan kedaulatan negara.

“Puteri UMNO Malaysia memandang serius kesalahan berulang dalam pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan simbol maruah serta kedaulatan negara.

“Sebagai wanita muda yang menjunjung semangat patriotik, Puteri UMNO menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa pengecualian termasuk pendakwaan mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang lalai atau sengaja mengabaikan tatacara pengibaran bendera negara.

“Ini kerana ia mencemar kedaulatan Jalur Gemilang, selaras dengan undang-undang sedia ada,” katanya pada satu sidang media yang diadakan pada Jumaat.

Ujarnya, Jalur Gemilang mesti dikibarkan dengan penuh rasa hormat selaras dengan Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini selaras dengan Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menegaskan tanggungjawab mempertahankan identiti, kehormatan, dan simbol kebangsaan.

“Setiap helaian Jalur Gemilang mesti dikibarkan dengan penuh hormat, sebagai lambang kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Himpunan Solidariti Jalur Gemilang telah diadakan pada Khamis dan telah diketuai oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di Pulau Pinang, pada Khamis.

Dilaporkan lebih 500 individu yang diketuai oleh Dr Akmal telah berarak dari tapak pasar malam Kepala Batas sejauh lebih 1.4 kilometer ke sebuah kedai peralatan elektronik yang pernah tular mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbaik.

Terdahulu, media melaporkan bahawa himpunan tersebut sepatutnya diadakan pada Isnin namun ditangguhkan untuk menghormati proses dan tindakan undang-undang yang telah diambil oleh pihak polis Pulau Pinang terhadap pelaku. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79