Akar Umbi Pemuda UMNO Terus Pertahan Jalur Gemilang, Teguh Bersama Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Damansara, Ali Amir Razali menyifatkan akar umbi sayap akan terus mempertahan isu membabitkan Jalur Gemilang seperti yang diperjuangkan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata sebagai ahli UMNO, isu ini akan terus dibela kerana ia merupakan simbol kepada kebanggaan rakyat Malaysia.

“Jangan sekali biarkan maruah bendera ini dicemari. Jika bendera ini tercalar, maruah negara turut tercalar. Apakah kita mahu dunia melihat Malaysia sebagai negara yang tidak mampu mempertahankan simbolnya sendiri?

“Biar dunia tahu, rakyat Malaysia khususnya UMNO, akan mempertahankan Jalur Gemilang dengan seluruh jiwa dan raga. Biar ribut datang, biar nyawa melayang, bendera ini tidak akan jatuh ke tanah kehinaan.

“UMNO tidak akan berdiam diri terutama berkenaan isu Jalur Gemilang di Pulau Pinang, UMNO berdiri teguh bersama Dr Akmal Saleh yang berani bertindak demi maruah negara kerana beliau bukan sekadar bercakap, namun turun ke lapangan.

“Bukan sekadar menulis di media sosial, beliau berdepan realiti di medan. Inilah contoh pemimpin muda yang tidak takut, tidak gentar dan tidak tunduk walau seinci apabila maruah negara dicabar,” katanya menerusi kenyataan yang diberikan kepada UMNO Online.

Katanya lagi, sebagai rakyat Malaysia semangat patriotisme perlu ada dalam kalangan rakyat merentasi parti politik dan kaum, termasuk mempertahan Jalur Gemilang sebagai identiti negara.

Menurut beliau ini kerana Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang mudah diganti sebaliknya sebagai warisan darah, peluh dan air mata generasi terdahulu dalam membawa kemerdekaan kepada tanah air ini.

“Patriotisme bukan sekadar berdiri tegak waktu lagu Negaraku dimainkan. Ia adalah keberanian untuk bangkit mempertahankan negara walau diserang dari pelbagai arah. Menghormati Jalur Gemilang bermakna mengibarkannya dengan bangga, menjaga kebersihannya, memastikan ia tidak koyak, dan tidak dijadikan bahan mainan atau hiasan tanpa adab.

“Ia berkibar di medan perjuangan, di saat merdeka diisytiharkan, di saat rakyat menadah doa untuk negara ini terus aman.

“Jadi persoalannya, bila bendera ini diperlakukan dengan tidak hormat, mengapa ada yang cuba meremehkannya? Mengapa ada yang lebih sibuk menyerang orang yang mempertahankannya, daripada bersama menjaga kehormatannya?

“Bendera ini bukan bendera UMNO sahaja, bukan bendera kerajaan semasa sahaja ini bendera kita semua, rakyat Malaysia!” tegas beliau.

Mengulas lanjut Ali menambahkan lagi persoalan apabila adanya segelintir pihak yang mempertahan isu pemasangan bendera terbalik oleh individu tidak bertanggungjawab seperti yang tular baru-baru ini.

“Maka timbul persoalan yang lebih besar mengapa mereka begitu bersungguh-sungguh menentang tindakan Dr Akmal? Untuk apa? Apa yang mereka cuba lindungi? Adakah menjaga maruah Jalur Gemilang satu dosa di mata mereka?” soal beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79