Kibar Jalur Gemilang, Bukti Ketaatan, Kesetiaan Dan Kebanggaan Sebagai Rakyat Malaysia – Ab Rauf

MELAKA, 15 Ogos – Kempen mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar satu acara simbolik, sebaliknya ia adalah manifestasi ketaatan, kesetiaan dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia terhadap negara tercinta.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, selepas 68 tahun negara mengecapi kemerdekaan daripada cengkaman penjajah selama 446 tahun, pengibaran Jalur Gemilang harus menjadi amalan dan tradisi rakyat sebagai tanda penghormatan terhadap pengorbanan pejuang terdahulu.

“Tiada sebab untuk kita tidak berasa bangga menjadi sebuah bangsa yang merdeka. Jalur Gemilang adalah simbol maruah, perpaduan dan identiti kita. Mengibarkannya adalah tanda bahawa kita bersatu hati menjaga keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) 2025 di Lobi Blok Bendahari, Kompleks Seri Negeri, hari ini.

Turut hadir, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka dan warga kerja JKMM yang bersama-sama memeriahkan acara dengan pemasangan Jalur Gemilang di perkarangan kompleks tersebut.

Ab Rauf turut menyeru seluruh rakyat Melaka, termasuk penjawat awam, untuk mengibarkan bendera kebangsaan di kediaman, premis perniagaan, mahupun kenderaan masing-masing sepanjang bulan kemerdekaan.

“Sebagaimana orang Melaka terkenal dengan nilai budaya tinggi dan kerukunan hidup yang erat, saya mengajak semua untuk terus memelihara keamanan, menyayangi negara, keluarga dan diri sendiri. Semangat jiwa merdeka ini harus dipupuk agar ia terus mekar dalam hati generasi akan datang,” ujarnya.

Kempen ini menjadi salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2025, di samping memupuk rasa cinta dan tanggungjawab terhadap tanah air. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79