RMR Ubah Hidup Rakyat Melaka, 3,819 Keluarga Kini Miliki Kediaman Sendiri – Rais
ALOR GAJAH, 15 Ogos – Impian ribuan keluarga berpendapatan rendah di Melaka untuk memiliki rumah sendiri kini menjadi kenyataan apabila sebanyak 3,819 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) berjaya disiapkan setakat ini hasil daripada peruntukan 2025.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin, berkata pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam menyediakan kediaman yang selesa dan mampu milik untuk rakyat.
“Program RMR bukan sekadar menyediakan rumah, tetapi menjadi platform permulaan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga berpendapatan rendah,” katanya ketika menyampaikan surat tawaran kepada pemohon yang layak pada Majlis Taklimat Penyerahan Surat Tawaran serta Menandatangani Perjanjian Pembinaan RMR 2025 di Kompleks JAPERUN DUN Rembia, semalam.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan Along; Pengerusi SPNB, Dato’ Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila; Pengarah Negeri SPNB Melaka, Tuan Haji Khairul Azhar Abdullah; Penghulu Rembia, Encik Mohd Marhakim Hassan; dan Setiausaha JAPERUN Rembia, Encik Muhammad Radhi Datuk Wira Hamdin.
Program RMR di Melaka terus menjadi pemangkin kesejahteraan sosial, dengan harapan lebih ramai rakyat negeri ini dapat memiliki rumah idaman mereka pada masa akan datang. – UMNO Online