Tok Mat Turun Padang Ke Rembau, Rasmi Kemudahan Baharu Sekolah
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Di sebalik kesibukan dalam melaksana tugas kepada negara sebagai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tetap menunaikan tanggungjawab beliau buat penduduk Rembau.
Terbaharu Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Rembau pada semalam berbesar hati turun padang ke kawasan.
Beliau ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights bagi merasmikan Dewan Lestari sekolah berkenaan baharu siap dibina.
“Semoga kemudahan baharu ini memberi manfaat besar kepada murid-murid dan warga sekolah, serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pembangunan sahsiah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamad seterusnya SK Taman Tasik Jaya turut sama hadir bagi perasmian Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung D’Mercu yang juga baharu siap dibina.
“Sekali lagi, penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Seremban serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seremban atas usaha bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar.
“Berharap agar dewan ini menjadi pusat kegiatan yang mengeratkan hubungan warga sekolah, di samping memupuk semangat kerjasama serta kecemerlangan,” ujar beliau. – UMNO Online